Senin, 17 Maret 2008

Malaikat Maut~ Tetamu Yang Kerap Berkunjung

Malaikat Maut~ Tetamu Yang Kerap Berkunjung


BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang,


iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar


hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi


oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat


kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh


Malaikat Izrail.


Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu


bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah


yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia


adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki 


sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan


dosa.


Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a,


bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :


“ Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali


dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati


orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah


hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala


untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan


bergelak ketawa.”


Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh


malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati.


Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat


maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang


menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal


mati dan hubungannya dengan malaikat maut.


Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak


mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata


hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman


dan ilmu.


Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti


akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan.


Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai


pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan


kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik,


bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti


diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi,


kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk


kemalangan jalan raya.


Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan


penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS,


demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian


hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering


mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas.


Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, “


sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?”.


Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran


malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai,


sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,


mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah


tamat.


Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat


dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit


sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika


Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau


ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika


kejadian tersebut.


Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah


yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat


pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau


mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya


tidak akan tertangguh walau sesaat.


Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab


bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya


sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan


menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala


memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk


itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu,


membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki


amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi


orang muflis di akhirat kelak.


Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan


menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih


hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha


memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala


kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan


membawa sesalan yang tidak berguna.


Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan


kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih


menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka,  jika


Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran


terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya,


sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya.


Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di


hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus


ke lembah bahaya itu.


Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi


memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh


Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain


menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan


tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk


bernyawa itu termasuk manusia  yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah


SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.


Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya


tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia


ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan


berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang


tersayang di kalangan mereka.


Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai


sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s


sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu


dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya


kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap


sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa


mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.


Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan


kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya


diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang


itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.


Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang


telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir


Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail


hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang


diamanahkan kepadanya.


Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan


kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang


dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut


hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat


maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut


berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu


tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun


ketika sihat dan segar-bugar.


Firman Allah Taala yang bermaksud :


“ Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya


mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (


pula ) mempercepatkannya. “


( Surah Al-A’raf ayat 34)


http://intim.wordpress.com/2008/03/13/malaikat-maut-tetamu-yang-kerap-b


erkunjung/

Tidak ada komentar:

 

blogger templates