Senin, 17 Maret 2008

Ayah! Ibu! Bawalah Anakmu Ini Mengenal Allah

Ayah! Ibu! Bawalah Anakmu Ini Mengenal Allah


Wahai Ayahku yang pengasih, Wahai Ibuku yang penyayang, 


Kamu melahirkan anakmu ini seputih awan di langit biru.  Maka janganlah dikau biarkan ia mendung kelabu sehingga menitis air mata mereka lantaran tidak mengenal Allah.  Awan yang mendung apabila berarak dalam kumpulan yang besar maka ia mampu menghalang bumi dari disinari cahaya mentari yang terik.  Apatah lagi cahaya purnama yang indah dan tidak menyakiti setiap mata yang memandang.  Begitu jualah kami, wahai ayahku, wahai ibuku.  Mendung kejahilan yang dititiskan oleh ayah dan ibu, mampu menghalang cahaya hidayah dari tersimbah ke jiwa kami.


Kasihanilah kami wahai ayah, wahai ibu. 


Wahai Abi, Wahai Umi, 


Kami akui kamu sangat prihatin akan makan minum buat jasmani kami, namun kamu lupa mengisi minda kami dengan ilmu mengenal Allah.  Kamu juga lupa menitiskan wahyu penyegar kalbu buat bekalan musafir kami di bumi Allah ini.


Kami akui dan kami amat berterima kasih di atas sensitiviti Abi dan Umi yang segera merawat kami tatkala kami sakit.  Sanggup berbelanja habis-habisan demi mengembalikan kesihatan badan kami.  Juga tidak pernah jemu berubat ke sana ke sini demi kesejahteraan hidup kami, namun minda kami yang kekosongan, apakah pengisiannya?  Bagaimana pula dengan ruh kami yang kelaparan, kehausan, apakah makanan terbaik yang Abi dan Umi hidangkan untuknya? 


Wahai Papaku yang bertanggungjawab, Wahai Mamaku yang prihatin, 


Kami bangga punya mama dan papa yang sanggup bekerja keras memerah keringat demi keselesaan kehidupan dunia kami.  Namun apakah pengorbanan papa dan mama untuk melihat jiwa kami bahagia hingga akhirat?  


Kalau api mancis pun papa dan mama  tidak sanggup membiarkannya menyentuh kami, inikan pula api neraka yang azabnya berganda-ganda dari azab di dunia?  Tegar kamu membiarkan kami terkontang-kanting sendirian mencari Tuhan buat mendapat sedikit ketenangan hidup di dunia?


 Wahai Ayahandaku, Wahai Bondaku, 


Cubalah renung kembali, sebelum anakandamu ini menderhakaimu dengan menconteng arang ke mukamu;  menjadi penagih dadah, mat rempit, bohsia, bohjan, memberi cucu ‘segera’, berpakaian seperti pelacur… apakah pernah kalian menderhakai Allah?  


Pepatah menyatakan Sebelum anak-anak menderhaka kepada ibubapa, ibubapa terlebih dahulu menderhakai Allah. Sudah tentu ia tidak melibatkan semua ibubapa.  Namun ibubapa perlu mengoreksi diri terlebih dahulu sebelum melemparkan kesalahan kepada anak-anak.


Apakah Ayahanda dan Bonda sedar bahawa kami hanya pinjaman dari Allah?  Allah menggalaskan amanah di bahu ‘mukallaf’mu buat membimbing kami supaya mengenali zatNya yang esa dan maha agung… apakah kamu telah menunaikannya?


Mampukah sehelai kain putih bersih mencorakkan dirinya sendiri atau perlu kepada manusia yang men’canting’ di atasnya?   Kami adalah apa yang ayahanda dan bonda corakkan kerana itulah pesan Nabi.


Sekarang bukan masanya, Ayah dan Ibu saling menyalahkan antara satu sama lain kerana cuai mendidik kami, namun gunakan kesempatan yang masih ada untuk kembali kepada Allah seiring sejalan.  Kemudian selaraskan kefahaman dan saling membahu membawa diri dan kami kepada Allah.   


Wahai Ayahku yang bijaksana, wahai ibuku yang penuh kasih sayang,


Pendidikan kami tidak memadai setakat menyuburkan budaya solehah di dalam rumah, bahkan hendaklah dipanjangkan kepada jiran-jiran dan orang kampung.


Tiada gunanya juga sekadar Papa dan Mama menjadi baik, jiran-jiran dan orang kampung baik tetapi membiarkan kepimpinan kerajaan yang rosak moralnya menguasai kami.  


Mereka tidak memerlukan kami bersusah payah keluar rumah bagi mempengaruhi kami kerana agen-agen mereka berada hampir di setiap buah rumah mutakhir ini.  Apalagi kalau bukan media elektronik seperti televisyen dan radio yang saban masa menyogok kami dengan bahan-bahan yang melalaikan kami dari mengingati Allah.  Media mereka mempengaruhi minda dan merangsang nafsu jahat kami di dalam rumah.  Sebaik sahaja kami melangkah kaki keluar, kami seolah-olah dijanjikan impian menjadi realiti.  Premis arak dan judi.  Pusat hiburan dan konsert-konsert nafsu syahwat.  Bukankah itu semua wujud kerana  kerajaan yang berkuasa meluluskan aktiviti sedemikian?  Juga mengatur sistem pendidikan yang memisahkan Islam dari kehidupan duniawi.  


Kami diajar pergaulan bebas tanpa batasan.  Sekolah-sekolah kami dicampur lelaki dan perempuan.  Kolej-kolej kami dicampur.  Fakulti kami dicampur.  Tempat-tempat kerja kami juga bercampur lelaki wanita tanpa batasan syarak.  Tempat kami beriadah, tempat kami bersantai, kenderaan awam yang kami naiki, tempat kami membeli belah barangan keperluan- semuanya diasak dengan ransangan-ransangan seks sama ada disedari atau tanpa disedari. 


Bapaku yang kukasihi,  Mamaku yang kusayangi,


Siapakah yang berkuasa mengatur dan menentukan semua itu kalau bukan sebuah kerajaan?  Dan apakah sesebuah kerajaan mampu  memiliki kuasa dalam arena demokrasi kalau tidak rakyat yang memandatkan kuasa tersebut?  Dan siapakah rakyat itu kalau bukan terdiri dari bapa, ibu, belia dan muda-mudi yang sudah cukup usianya?  


Apakah baba dan mama sanggup memberi amanah kepada individu yang tidak takutkan Allah mendidik kami di luar rumah?  Bukan itu sahaja,  mereka juga menyuapi kami dengan sumber-sumber syubhat melalui akaun kerajaan yang tidak suci dari cukai-cukai arak dan judi.  Walhal semua agama mengutuk keburukan arak dan judi. 


Sia-sia sahaja baba dan mama mendidik kami mengenal Allah di dalam rumah namun memilih sebuah kerajaan yang tidak takutkan Allah menyambung tarbiah kami sebaik kami melangkah ke luar rumah.  


 Fikir-fikirkan… dan buatlah keputusan terbaik demi masa depan kami dan cucu cicit papa dan mama.  Bukan setakat masa depan di dunia, bahkan berpanjangan hingga akhirat. 


http://keranacinta.wordpress.com/

Tidak ada komentar:

 

blogger templates